SUKAN ASIA 2018

Takraw: Semoga emas ini jadi pemangkin -- Abdul Talib

Stadium Astro
Penulis Jemputan
28/08/2018
10:31 MYT
Sponsor Banner
Takraw: Semoga emas ini jadi pemangkin -- Abdul Talib
Bagai kisah fantasi yang mempunyai penamat sempurna.
Skuad sepak takraw lelaki negara yang pada mulanya tidak diletakkan sebarang harapan, apatah lagi dengan status penyertaan acara antara regu Sukan Asia Jakarta-Palembang yang menjadi tanda tanya pada permulaan saingan sehingga mengundang kontroversi, ia diakhiri dengan sumbangan pingat emas yang bermakna untuk kontinjen Malaysia.
Tatkala kebanyakan peminat di tanah air kurang optimis dengan kemampuan pemain negara, mereka diduga pada awalnya apabila tidak disenaraikan setelah mengalami kesilapan teknikal.
Setelah merayu selama sebulan dan hanya diterima masuk oleh Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) kurang 24 jam sebelum temasya Sukan Asia bermula, mereka terus menghadapi protes berterusan daripada tuan rumah, Indonesia.
Ia ditambah lagi dengan layanan kurang beradab penganjur apabila tidak membenarkan pemain Malaysia berlatih menggunakan Pusat Latihan Tempo di Jakabaring sebelum bermulanya cabaran antara regu.
"Yang membuat saya melinangkan air mata tadi adalah kerana sudah 24 tahun skuad sepak takraw tidak memenangi emas dalam Sukan Asia.
"Generasi pemain hari ini memerlukan emas sebagai pemangkin untuk mereka memajukan diri pada masa akan datang," kata jurulatih negara, Abdul Talib Ahmad.
Malaysia bukan sahaja mengaibkan Indonesia dua kali di hadapan penonton mereka sendiri, malah dalam masa yang sama mengembalikan keyakinan peminat sukan tanah air bahawa skuad sepak takraw kita bukanlah sekadar jaguh kampung.
Sama ada Thailand ada mahupun tidak dalam acara itu, skuad negara sudah mempamerkan aksi juang yang tinggi untuk menghadiahkan Malaysia pingat emas keempat keseluruhan kontinjen negara selepas boling tenpin menyumbang dua bagi acara trio wanita serta Masters lelaki melalui Rafiq Ismail, begitu juga skuasy menerusi Datuk Nicol David.
"Antara rahsianya adalah kem latihan komando yang diadakan di Jugra (Banting, Selangor).
"Pendekatan itu mengeratkan hubungan di antara jurulatih dan pemain.
"Ia membangkitkan semangat juang yang tinggi, termasuk Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sendiri," tambahnya.
Ternyata, barisan pemain Indonesia masih gagal menerima kenyataan bahawa mereka tewas buat kali kedua berturut-turut di hadapan penyokong sendiri.
Biarpun mendahului dalam set pertama dan di ambang kemenangan untuk meraih emas pertama mereka dalam acara sepak takraw Sukan Asia, barisan pemain negara mencipta keajaiban untuk menafikan hasrat mereka itu.
Semangat kesukanan juga gagal ditampilkan barisan penyokong Indonesia yang hadir. Selain ejekan dan provokasi mereka terhadap pemain Malaysia, bahkan mereka tidak menghormati ketika lagu Negaraku berkumandang saat Malaysia meraih emas.
"Walaupun tewas, kami harus syukuri ini semua rezeki daripada Allah.
"Jadi, kami patut bersyukur dengan apa yang kami dapat," kata pemain Indonesia, Pratseya Victoria Eka.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video