Perak menamatkan kemarau 14 tahun kejuaraan Piala Emas Khir Johari apabila menewaskan Terengganu 2-1 dalam aksi mendebarkan di Dewan Jubli Perak, Majlis Perbandaran Kota Bharu- Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Kota Bharu, petang tadi.
Turun penuh bersemangat selepas menyingkirkan tuan rumah, Kelantan, 2-0 dalam separuh akhir, regu Perak A yang diwakili tekong utama, Yushanif Rosli, Fadzil Mustapa (apit kanan) dan Mohd Azwan Muhrim, bermula garang dengan mendahului 15-10.
Bagaimanapun, Terengganu yang menurunkan Mohd Irsyad Ismail (tekong), Mohd Fazli Roslan (apit kanan) dan Mohd Fakarulrazi Ismail cuba memberi cabaran, namun Perak ligat menyerang untuk menang 21-11.
Dalam set kedua, Perak jelas menguasai gelanggang apabila jauh mendahului 15-3 untuk terus memberi tekanan kepada Terengganu.
Melalui pelbagai variasi servis Yushanif, Perak menamatkan permainan 21-12 dalam masa 15 minit.
Sedar kemenangan diperlukan untuk mengheret Perak beraksi dalam regu penentuan, Terengganu menurunkan regu terkuat yang diketuai tekong utama, Mohd Zulkifli Abdul Razak atau Sobey, Hanafiah Dollah (apit kanan) dan Mohd Safaruddin Abu Bakar.
Percaturan ini jelas menjadi apabila Terengganu menang 21-18 dalam set pertama.
Servis kencang Sobey terus menjadi duri dalam daging untuk regu B Perak yang menurunkan Mohd Firdaus Muhamad (tekong), Muhammad Firdaus Hamad (apit kanan) dan Mohamad Asyraf Abdul Hadi untuk mendahului 11-4.
Melalui servis kuda kencang Sobey, Terengganu menamatkan perlawanan 21-10.
Aksi dalam regu penentuan menyaksikan kedua-dua regu saling mengejar mata, namun ketenangan apit kiri yang juga kapten Perak, Shahibul Fazilah Abdul Salam, menjadi pemisah untuk memberikan kemenangan 21-16 dalam set pertama.
Dalam set kedua, keadaan semakin sengit apabila kedua-dua regu terikat 20-20 sebelum libasan apit kanan Perak, Amirul Ramadhan Fazillah Suhaimi, menjunam untuk mendahului 21-20.
Servis kencang tekong Perak, Heppy Itam, gagal diangkat Izzurin, sekaligus membawa Perak menamatkan perlawanan 22-20.
Kejayaan ini membolehkan Perak membawa pulang wang tunai RM20,000, medal dan piala pusingan manakala Terengganu berpuas hati dengan RM15,000 dan medal.
Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail, menyampaikan hadiah kepada pemenang. Turut hadir, Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK), Datuk Mohd Radzuan Abdullah.
Keputusan penuh:
Johan: Perak
Naib Johan: Terengganu
Ketiga: Kelantan
Keempat: ATM
Farizal Yusoff
Sun Jul 01 2018