Syarul Azman sandaran utama raih gelaran Mr Universe
November 21, 2016 09:40 MYT
Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah menjadi sandaran utama skuad bina badan negara untuk menamatkan penantian dua tahun tanpa gelaran Mr Universe sejak Sazali Samad digantung empat tahun susulan positif doping, dalam Kejohanan Mr Universe di Pattaya, Thailand, 2 Disember depan.
Syarul Azman dicanang sebagai pengganti terbaik Sazali selepas muncul Mr Asia 2016 dalam kategori body klasik.
Malaysia tidak pernah mengecap gelaran Mr Universe sejak Sazali digantung pada 2014, namun kali ini mungkin penantian itu dapat ditamatkan.
"Kami masih lagi kuat, kami mempunyai atlet-atlet baru, salah seorang daripada mereka merupakan anggota tentera dan seorang lagi anggota polis.
"Kami akan berusaha sedaya-upaya dan kami mempunyai kekuatan mental yang tinggi pada ketika ini, jadi kami pasti akan mencuba untuk melakukan yang terbaik," jelasnya.
Malaysia akan menghantar enam atlet lelaki dan dua wanita ke Pattaya.
Sebelum Sazali digantung, Malaysia adalah antara pencabar terhebat dunia apabila atlet kelahiran Batu Pahat, Johor itu 10 kali dinobatkan sebagai Mr Universe.
Kejohanan Mr Universe juga merupakan peluang terbaik untuk skuad bina badan negara menebus kekecewaan apabila acara itu tidak dipertandingkan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
"Keyakinan saya memang tinggi dan saya sudah bersedia. Kini saya hanya menunggu hari pertandingan dan akan memberikan segala-galanya. Sasaran saya sudah pasti mahu mendapatkan pingat emas."