Arena Emas di Taman Impian Emas yang dibangunkan dengan kos sebanyak RM31 juta telah menerima pujian daripada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, hari ini.
Arena Emas yang merangkumi gelanggang bagi acara memanah, petanque, boling padang dan skuasy itu terletak kira-kira 18 kilometer dari pusat bandar raya Johor akan menjadi tumpuan buat atlet dalam Sukan Malaysia (Sukma) XX Johor 2020, yang ditunda dari 5 Mac hingga 10 April tahun depan.
Wan Ahmad Fayhsal yang mengadakan lawatan kerja ke Johor selama dua hari semalam memuji keupayaan Johor dalam membina fasiliti serba canggih yang mampu menempatkan empat acara berlainan di Arena Emas.
Beliau turut gembira dengan persediaan negara menjelang temasya dwi-tahunan itu meskipun berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini.
“Ini menunjukkan bahawa negeri Johor telah benar-benar bersedia untuk menganjurkan Sukan Malaysia pada tahun hadapan. Malah, segala kelengkapan yang moden dan canggih ini juga boleh digunakan bagi temasya sukan bertaraf antarabangsa,” katanya ketika melakukan tinjauan di Johor Bharu hari ini.
Sebanyak RM467.9 juta telah dibelanjakan bagi menyiapkan fasiliti berkelas dunia serta menaik taraf kemudahan sedia ada sementara sejumlah RM325.9 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri serta turut menerima peruntukan daripada kerajaan persekutuan berjumlah RM142 juta.
Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal turut mengadakan lawatan ke Dataran Bolasepak Majlis Bandaraya Iskandar Puteri yang sudah siap 92.89 peratus sejak mula dibina pada 15 Februari tahun lalu, Stadium Bola Keranjang Johor di Arena Larkin, Kompleks Tenis Nusa Duta dan juga Velodrome Johor di Iskandar Puteri.
Antara gelanggang yang dinaiktaraf pula merangkumi Stadium Hoki Taman Daya, Pusat Akuatik Arena Larkin, Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya bagi sukan Wushu, Akademi Majlis Kriket Johor di Mutiara Rini dan Sireh Park, Iskandar Puteri bagi Sukan berbasikal MTB.
Sukma Johor akan dilangsungkan di tiga daerah iaitu Johor Bahru, Pagoh dan Kota Tinggi.
Sebanyak 28 acara sukan akan berlangsung di Johor Bahru manakala Pagoh akan menempatkan sukan kanu, angkat berat dan silambam serta Kota Tinggi menjadi gelanggang buat sukan pelayaran dan berbasikal lebuh raya.
Shaiful Shamsudin
Tue Jul 21 2020