Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terlibat dengan Sukan SEA Kuala Lumpur bertekad memberikan komitmen tinggi bagi mengharumkan nama negara.

Seramai 12 kakitangan dan pelajar universiti itu terlibat dalam Sukan SEA, sama ada sebagai atlet atau pegawai.

Pengarah Pusat Sukan UMS merangkap ketua jurulatih bola sepak wanita negara dalam Sukan SEA, Mohd Asyraaf Fong Abdullah, berkata sokongan padu dan galakan yang diberikan Naib Canselor UMS, Prof Dr D Kamarudin D Mudin, serta pihak pengurusan institusi berkenaan telah memberi mereka suntikan semangat.

"Kami berikrar akan memberikan komitmen tinggi serta persembahan terbaik bagi membantu kontinjen Malaysia, sekali gus mengharumkan nama negara dalam temasya itu," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Antara pelajar UMS yang terlibat pada Sukan SEA ialah Fatin Faqihah Md Yusof (olahraga), Christina Idris (ragbi), Dayang Ak Manggie (ragbi) dan Ji Fedalloah Claritta Jaimin (bola sepak wanita).

Sementara itu, kakitangan UMS yang terlibat pula ialah Masturah Majid, Jaciah Jumilis, Haindee Mosroh, dan Shereilynn Pius dengan kesemua mereka berada dalam skuad bola sepak wanita negara sebagai pemain.

Dalam pada itu, empat lagi kakitangan yang terlibat sebagai pegawai Sukan SEA ialah Asyraaf sendiri yang dibantu oleh David Johnny dan Salim Syed Ibrahim sebagai pegawai serta Azman Soibah yang dilantik menjadi penolong jurulatih skuad futsal wanita Malaysia.