Sukan SEA: Takraw lelaki yakin pertahan emas antara regu
Penulis Jemputan
Jun 14, 2017 19:13 MYT
Jun 14, 2017 19:13 MYT
Skuad sepak takraw lelaki negara tidak mahu tergesa-gesa meletakkan sasaran lebih daripada satu pingat emas buat masa ini dalam Sukan SEA Kuala Lumpur dari 19 hingga 30 Ogos depan.
Setakat ini, skuad negara hanya optimis dalam misi mempertahankan pingat emas yang diraih dalam edisi dua tahun lalu di Singapura menerusi acara antara regu.
Namun, sasaran untuk merangkul emas dalam acara berpasukan buat julung kalinya pula hanya akan ditentukan sendiri oleh Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).
Tidak mengambil kira sasaran sebenar untuk pasukan, barisan pemain kini hanya fokus memperbaiki prestasi semasa selain menilai tahap potensi negara yang semakin meningkat seperti Filipina dan Myanmar.
"Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail, akan mengumumkan sasaran skuad sepak takraw negara.
"Sudah semestinya, kami menyasarkan satu pingat emas, iaitu mempertahankan emas antara regu.
"Kesemua tekong yang ada dalam skuad Malaysia, mereka sudah mencapai tahap permainan seperti ketua pasukan negara, Syahir Rosdi.
"Dengan tahap seperti itu, pasukan kita boleh mengancam negara-negara lain seperti Thailand dan Indonesia," kata pengurus skuad sepak takraw negara, Mohd Zambri Abdul Rahman.
Mereka akan berlepas ke Pekanbaru, Indonesia, selepas Hari Raya Aidilfitri, bulan depan, bagi mengadakan aksi ujian sebelum kembali menjalani beberapa perlawanan di tanah air sebagai persiapan akhir menghadapi Sukan SEA.
Menurut penolong jurulatih, Mohd Rashidi Nordin: "Ketika ini, persiapan kami sudah mencapai tahap 70 peratus menjelang Sukan SEA.
"Cuma, perlawanan ujian perlu diatur sebelum menghadapi Sukan SEA."