Sukan SEA: Siti Rahmah berbangga pesilat negara lepasi sasaran pingat emas
Ammar Hakim
Mei 10, 2023 21:01 MYT
Mei 10, 2023 21:01 MYT
Jurulatih skuad silat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir, cukup berbangga dengan pencapaian skuad silat negara yang melepasi sasaran dua pingat emas dalam saingan Sukan SEA di Kemboja kali ini.
"Syukur di atas pencapaian ini apabila berjaya melepasi sasaran pingat emas. Kami meletakkan sasaran untuk meraih dua dan hari ini, kami memperoleh empat pingat emas sekaligus ia adalah satu pencapaian yang cukup membanggakan daripada skuad silat negara," kata Siti Rahmah.
"Terima kasih kepada yang individu yang banyak membantu, presiden PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, Majlis Sukan Negara (MSN), Institus Sukan Negara (ISN) yang banyak membantu pesilat negara membuat persiapan bagi menghadapi Sukan SEA kali ini.
"Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada pesilat yang berjuang di Kemboja, terdapat sebilangan daripada mereka adalah muka baru dalam pasukan negara, ada juga yang berpengalaman, membawa semangat negara hingga ke final walaupun terdapat yang mengalami kecederaan, kejayaan ini tidak akan hadir tanpa mereka yang turun ke gelanggang ini," katanya.
"Saya merupakan bekas pesilat negara, ini merupakan pengalaman pertama menjadi jurulatih buat skuad silat negara. Perasaan yang sungguh berbeza kerana sebelum ini fokus saya adalah persembahan saya, namun kali ini saya perlu memastikan semua atlet Malaysia beraksi dengan cemerlang."
Pesilat pertama Malaysia dalam aksi final hari ini, Norsyakirah Muksin tidak mengecewakan apabila menghadiahkan emas sulung dalam kategori bawah 45 kilogram (kg) Putri selepas menumpaskan wakil Indonesia, Suci Wulandari 36-33.
Skuad silat kebangsaan meraih emas kedua menerusi Nor Farah Mazlan setelah lawannya dari Singapura Nadhrah Sahrin dibatalkan penyertaan selepas melanggar peraturan pertandingan ketika pesilat negara kelahiran Sabah itu sedang mendahului 23-16 dalam kategori 45-50kg Putri.
Muhammad Izzul Irfan Marzuki pula berjaya meraih pingat emas ketiga Malaysia setelah menumpaskan wakil dari Indonesia, Kadek Andrey Nova Prayada 39-33 dalam kategori 60-65kg Putra.
Satu lagi pingat emas dibutir menerusi gandingan adik-beradik kembar, Danial Azray Noorazizan dan Danial Azrol Noorazizan menerusi acara ganda putera Ahad lalu.