Sukan SEA: Program Larian Baton di Indonesia meriah

Astro Arena
April 30, 2017 20:06 MYT
Venue kesembilan Larian Baton Bangkit Bersama Kuala Lumpur 2017 di Indonesia hari ini menyaksikan tuan rumah berjaya menghimpunkan ribuan rakyatnya untuk turun menyokong memeriahkan acara tersebut dan menjadi salah satu edisi penganjuran yang paling meriah.
Acara dimulakan dengan penyerahan baton oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan, kepada Timbalan Menteri Pemuda dan Olahraga Republik Indonesia, Dr. Raden Isnanta.
Larian seterusnya dikepalai oleh bekas pemain beregu lelaki badminton Indonesia, Luluk Hadiyanto, diiringi ribuan penduduk tempatan yang turut sama menjadi pelari di samping berbasikal.
Laluan sejauh 9.6 kilometer itu melalui beberapa monumen bersejarah di ibu kota Jakarta, antaranya Kompleks Sukan Gelora Bung Karno, tugu patung Jenderal Sudirman dan patung MH Thamrin.
Baton kemudian diserahkan pula kepada bekas pelari pecut Indonesia, Suryo Agung Wibowo untuk mengetuai semua peserta menuju ke tempat penamat, iaitu Muzium Nasional Indonesia.
Meskipun jumlah yang turut serta tidak mencapai sasaran 10,000 seperti ditetapkan sebelum ini, mereka tetap berbangga dengan sambutan menggalakkan daripada rakyat republik itu.
"Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN merupakan suatu perkara yang penting bagi meningkatkan persaudaraan sesama negara di rantau Asia Tenggara," kata Raden Isnanta.
"Kami dapat melihat setiap negara bertungkus-lumus menjayakan acara larian baton ini menjelang Sukan SEA yang akan bermula pada Ogos," ujar Saravanan.
;