Sukan SEA: Penembak negara hanya sertai acara Olimpik, ISSF

Bernama
Januari 28, 2019 19:16 MYT
Skuad​ menembak negara akan hanya mengambil bahagian dalam acara-acara yang dipertandingkan dalam Sukan Olimpik dan kejohanan Persekutuan Menembak Antarabangsa (ISSF) dalam Sukan SEA Filipina, November depan.
Setiausaha Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM), Adam Tee, berkata Malaysia tidak akan menyertai kesemua 14 acara dalam temasya dwitahunan itu tetapi beberapa acara tertentu seperti 10m air pistol, 10m air rifle, 25 rapid pistol, 50m rifle tiga posisi, acara skeet dan trap serta acara berpasukan.
Kesemua acara tersebut akan dipertandingkan dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja NSAM bersama Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, MSN bersetuju menyenaraikan lapan atlet menembak untuk berlatih sepenuh masa manakala 12 separuh masa dalam program latihan sistem berperingkat bagi menghadapi Sukan SEA Filipina 2019.
Penembak wanita, Alia Sazana Azahari, pemenang gangsa acara 25m pistol dalam Sukan Komanel Gold Coast tahun lalu, berada di ranking teratas, katanya.
Tee berkata NSAM akan mencadangkan kepada MSN calon jurulatih yang sesuai bagi menggantikan jurulatih Korea Selatan, Lee Do Hee, bagi membimbing penembak acara pistol, termasuk atlet Sukan Olimpik Rio 2016, Johnathan Wong Guanjie.
Selepas Do Hee meninggalkan NSAM, katanya, ketua jurulatih Park Sang Soon membimbing kedua-dua pasukan acara pistol dan rifle.
”Setakat ini, belum ada calon pengganti tetapi kami mungkin mendapatkan khidmat jurulatih dari Korea Selatan atau China kerana bajet terhad untuk mendapatkan jurulatih dari Eropah.
"Kepakaran jurulatih tempatan adalah terhad untuk membimbing penembak mencapai pingat di persada antarabangsa,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Tee berkata pihaknya berharap pihak berkuasa keselamatan akan memberi 'lampu hijau’ untuk rumah kelab Persatuan Menembak Selangor dibuka semula bagi membolehkan ahli kelab dan atlet negara meneruskan latihan di Lapang Sasar Subang.
Rumah kelab itu diarah tutup sementara waktu tahun lalu oleh pihak polis selepas kegagalan pihak pengurusannya mematuhi prosedur keselamatan yang telah ditetapkan.
Ini berikutan kejadian seorang penuntut berusia 19 tahun, yang juga ahli kelab tersebut, ditemui maut dalam tandas sebuah kolej swasta di Subang Jaya pada Jun tahun lalu, dipercayai memembak diri sendiri dengan menggunakan pistol yang didakwa diambil dari kelab tersebut.
“Kami telah melakukan apa yang diperlukan untuk mendapatkan kelulusan keselamatan. Polis daripada unit berkaitan berpuas hati setelah melakukan pemeriksaan dan kami mungkin mendapat kebenaran pada bila-bila masa,” kata Tee.
-- BERNAMA
;