Sukan SEA: Larian baton bermula di kedutaan Malaysia
April 21, 2017 23:42 MYT
Seramai 4500 dijangka menyertai peringkat kelapan Larian Baton Bangkit Bersama Sukan SEA /Para ASEAN 2017 di Phonm Penh, Kemboja yang julung kalinya akan bermula di kedutaan Malaysia.
"Hari ini kita berada di Kemboja, negara kelapan untuk mengadakan larian baton yang kelapan. Berbeza kali ini, inilah julung kalinya larian baton akan diadakan di kedutaan Malaysia dan keduanya, larian akan dipimpin oleh mantan menteri Kemboja.
"Apa yang kami lihat setakat ini, sambutan di sini cukup luar biasa. Untuk itu, boleh dikatakan hasrat untuk mempromosikan sukan SEA di seluruh ASEAN berjaya dilakukan.
"Saya telah dimaklumkan 4,500 peserta bakal mengambil perhatian dan angka itu dijangka meningkat tatkala larian diadakan di kedutaan Malaysia," kata Datuk M. Saravanan selaku Timbalan Menteri Belia dan Sukan.
Sementara itu, duta Malaysia ke Kemboja, Datuk Sri Hasan Malek berkata, pihaknya sudah bersiap-sedia sejak awal tahun ini untuk menganjurkan Larian Baton Bangkit Bersama dan meramalkan penyertaan rakyat Malaysia paling ramai.
"Rakyat Malaysia di kemboja tidak terlalu ramai dengan hanya 2000 orang sahaja tetapi saya difahamkan lebih kurang 200 hingga 300 yang akan mengambil bahagian," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (MASOC), Datuk Seri Zolkples Embong turut terkejut dengan sambutan larian tersebut.
"Sokongan dari negara yang terlibat amat diluar dugaan. Minggu lepas di Timor Leste juga sambutan amat menggalakan. Ini sememangnya satu pencapaian buat Malaysia selaku negara penganjur," ujarnya.