Atlet pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, memiliki kelebihan untuk merampas pingat emas acara 100 meter Sukan SEA apabila jadual pertandingan olahraga menyaksikan penyandang juara, Eric Cray, akan beraksi dalam dua final.

Jadual padat pelari dari Filipina itu pada hari kedua acara olahraga, 22 Ogos ini, akan memberi kelebihan kepada Khairul Hafiz.

Cray dijadualkan beraksi dalam acara 400m berpagar akhir, diikuti 100m akhir, satu jam 30 minit kemudian.

Khairul Hafiz turut mengakui senario tersebut akan memberi kelebihan kepadanya.

"Ini satu kelebihan buat saya. Dua tahun lalu, Cray turut menyertai 110m berpagar.

"Acara 400m berpagar akan berlangsung terlebih dahulu dan kemungkinan saya akan dapat buat yang terbaik," kata atlet dari Melaka itu.

Khairul Hafiz akan beraksi dalam 100, 200, 4x100 dan 4x400m.

Dia berpeluang menamatkan kemarau 14 tahun pingat emas dalam acara 100m, dengan Nazmizan Mohamad muncul pelari terakhir negara menjuarai acara riben biru itu dalam Sukan SEA.

Semalam, atlet berusia 19 tahun itu mendapat suntikan semangat terbaik apabila sesi latihannya turut disaksikan ahli keluarganya yang sanggup turun dari Melaka.

"Dia perlu berusaha lebih. Kami semua akan doakan yang terbaik untuknya," kata Norliza Muhamat, ibu kepada Khairul Hafiz.