Sembilan pemain teqball terpilih dalam senarai pendek ke kem latihan fasa kedua menuju ke Sukan SEA Kemboja 2023.

Namun, hanya empat slot ditawarkan buat kem negara mencapai sekurang-kurangnya meraih tiga pingat perak dalam temasya itu dari 5-17 Mei depan.

Menurut ketua jurulatih kebangsaan, Mohd Afif Nuruddin Muhamad, sembilan pemain itu bakal memberinya sakit kepala kerana semuanya mempamerkan prestasi yang baik.

"Masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri.




"Ada yang lebih kepada kekuatan dan ada pula menjurus kepada bertahan.

"Daripada sembilan ini, saya perlu pilih empat peserta sahaja jadi saya akan bertambah sakit kepala," katanya dihubungi Nadi Arena.

Dia juga berharap kem latihan kali ini boleh membuktikan siapa lebih layak.

Pemilihan akhir akan diketahui pada awal bulan depan sebelum menghadapi perlawanan pra-Sukan SEA sebagai persiapan.

"Berbanding 2-3 bulan lalu, prestasi kami makin baik dan apabila memasuki baki dua bulan setengah sebelum ke Sukan SEA, (kami jangka) pasukan negara akan puncak prestasi.

"Kami akan mengadakan kejohanan pra-Sukan SEA di Kuala Lumpur dari 15-16 Mac yang melibatkan pasukan Thailand, Brunei dan Kemboja," katanya lagi.