Perenang negara, Khiew Hoe Yean, percaya mampu mengharungi tujuh acara dengan baik dalam Sukan SEA Kemboja yang bermula 5 Mei.

Walaupun menggalas tugas besar dalam banyak acara, tetapi Hoe Yean tetap berfikiran positif untuk menggalas mandat yang dipertanggungjawabkan sebagai atlet.

Hoe Yean bakal terbabit dalam Kejohanan Renang Peringkat Umur di Pusat Akuatik Nasional sebagai aksi pemanas badan, Khamis ini.

"Saya boleh tangani penyertaan dalam tujuh acara.

"Lagipun saya adalah atlet, memang sudah berlatih menghadapi perkara sebegini.

"Segala persiapan ditumpukan untuk kejohanan ini. Bukannya kejohanan lain langsung tidak letih tapi itulah yang perlu kami harungi.

"Ia bukan lagi mengenai medal, sebaliknya saya menyasarkan catatan masa dengan harapan saya layak ke Sukan Olimpik Paris," katanya yang memenangi satu emas dua perak dalam temasya di Hanoi tahun lalu.