Sukan SEA Kemboja: Ganjaran lumayan untuk emas xiangqi
Shaiful Shamsudin
April 10, 2023 19:06 MYT
April 10, 2023 19:06 MYT
Persatuan Xiangqi Malaysia menawarkan RM50,000 kepada mana-mana atlet negara yang membawa pulang pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023.
Skuad negara bakal menyertai empat acara dalam Xiangqi dan badan induk itu sudah menyediakan jumlah keseluruhan RM200,000 seandainya skuad negara mengutip empat emas.
"Kali ini kami akan hantar skuad yang hampir sama iaitu empat atlet lelaki dan dua wanita.
"Kami masih menggunakan khidmat ketua jurulatih dari China yang turut mengemudi cabaran negara dalam edisi lalu.
"Dia akan tiba hujung bulan ini tetapi buat masa ini kami telah mula berlatih secara di atas talian," kata jurulatih xiangqi negara, Phoon Kok Choon.
Dalam masa sama, pemenang perak Sukan SEA 2021, Sim Yip How, menggambarkan dirinya sudah cukup bersedia untuk merampas emas walaupun sedar perlu mencalarkan reputasi lawan.
"Kami sudah tahu pihak lawan yang bakal dihadapi jadi kami boleh buat persiapan yang lebih rapi.
"Saya jangka wakil dari Singapura, Alvin Woo, akan turun mempertahankan gelarannya dan ini kali pertama saya akan mencabarnya.
"Selain itu, wakil Vietnam merupakan pilihan utama kejohanan," katanya pula.