'Hari ini, saya berjaya banggakan ibu saya', kehadiran ibu atlet karate negara, R. Sharmendran, di Majlis Penyerahan Jalur Gemilang buat kontinjen negara ke Sukan SEA Kemboja 2023 ternyata memberikan suntikan semangat buat penyandang hatrik emas acara kumite 75 kilogram untuk mencapai sasaran utamanya.

Sharmendran yang juga diberikan mandat membawa bendera Malaysia di acara pembukaan temasya sukan itu pada 5 Mei ini menyifatkan ia adalah penghargaan buatnya selepas lebih 20 tahun berkecimpung dalam dunia karate.

"Saya sangat berbangga dengan peluang ini. Sukan karate meletakkan sasaran tiga pingat emas, ia adalah realistik dan berpeluang untuk meraih lebih lagi," kata Sharmendran.

"Ini merupakan salah satu peluang buat saya membuatkan ibu yang berbangga dengan pencapaian saya. Beraksi di pentas antarabangsa mewakili negara, mengibar Jalur Gemilang untuk kontinjen negara ke Sukan SEA ini."