Ketua jurulatih skuad karate negara, R. Puvaneswaran, berbangga apabila barisan atletnya berhasil menamatkan kemarau 29 tahun pingat emas acara kumite berpasukan lelaki dalam Sukan SEA Hanoi hari ini.

Skuad negara meraih emas berkenaan selepas menewaskan Indonesia 3-0 dalam aksi final, di mana R. Sharmendran, S. Prem Kumar dan H. Sureeya Sankar muncul penyumbang mata.

Kejayaan itu turut memastikan kontinjen negara menepati sasaran 36 emas yang ditetapkan menjelang permulaan temasya berkenaan.

Sebagai rekod, kali terakhir skuad karate negara memenangi acara berkenaan adalah dalam edisi di Singapura pada 1993.

Puvaneswarwan, yang mencipta sejarah sebagai satu-satunya individu yang memenangi pingat emas acara kumite berpasukan lelaki selaku atlet dan jurulatih, amat berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya.

"Perasaannya amat-amat gembira dan puas hati kerana sudah 29 tahun kita menantikan untuk mendapatkan pingat emas dalam acara kumite berpasukan lelaki," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Karl Nunis.

"Maksudnya, kali terakhir kita memenangi pingat emas acara ini adalah dalam Sukan SEA Singapura 1993.

"Dalam proses ini, kita telah melalui tujuh aksi final tetapi masih tidak dapat pingat emas.

"Tetapi kali ini, atlet kita telah menggondoli pingat emas selepas 29 tahun," katanya.