Sukan SEA: Azizul teruja jadi salah seorang pembawa Jalur Gemilang

Penulis Jemputan
Ogos 8, 2017 13:09 MYT
Pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang, teruja dipilih selaku salah seorang daripada tiga pembawa Jalur Gemilang yang akan mengetuai kontinjen Malaysia dalam perbarisan Sukan SEA Ke-29.
Pengumuman itu dilakukan sendiri Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, dalam sesi bersama atlet semalam, dengan tiga atlet berstatus juara dunia akan menjadi pembawa bendera negara.
Selain The Pocket Rocketman, Mohd Al-Jufferi Jamari dan Cheong Jun Hoong, akan mengetuai perarakan kontinjen negara dalam ucapara pembukaan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 19 Ogos ini.
"Alhamdullillah dan terima kasih kepada Khairy kerana memilih saya sebagai salah seorang pembawa bendera bersama-sama Al-Jufferi dan Jun Hoong.
"Dengan adanya kami bertiga ini akan menaikkan semangat dan motivasi rakan-rakan lain untuk berjuang habis-habisan dalam Sukan SEA nanti. Kita harap dapat memastikan kontinjen Malaysia menjadi juara keseluruhan dalam temasya itu, insya-Allah," katanya.
Azizulhasni mencipta sejarah memenangi emas acara keirin dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Hong Kong pada 13 April lalu, sementara Al-Jufferi muncul juara Kelas Putra E dalam Kejohanan Silat Dunia di Bali, Indonesia pada 8 Disember tahun lepas.
Jun Hoong mengejutkan gergasi, China, selepas menjuarai acara terjun 10m platform individu dalam Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest, Hungary, 20 Julai lalu.
Azizulhasni akan menyertai dua acara dalam Sukan SEA, iaitu pecut dan keirin, yang akan berlangsung di Velodrom Nasional Nilai, bermula 27 Ogos ini.
Dia kini masih menjalani sesi latihan di Melbourne, Australia.
#Sukan SEA #Azizulhasni Awang #Al-Jufferi #Kejohanan Akuatik Dunia #Kejohanan Berbasikal Trek Dunia
;