Sukan Paralimpik Tokyo: Atlet berbasikal mohon kebenaran latihan lebuh raya
Shaiful Shamsudin
Jun 9, 2021 20:38 MYT
Jun 9, 2021 20:38 MYT
Skuad berbasikal para lega dengan kedudukan dan kuota ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tidak terjejas.
Biarpun terlepas Kejohanan Piala Dunia di Belgium selain Kejohanan Dunia Basikal Lebuhraya di Portugal.
Namun, Malaysia mempunyaii kuota untuk tiga atlet lelaki serta satu wanita.
Barisan kejurulatihan masih meneliti individu yang bakal memikuk cabaran negara di Jepun, Ogos depan.
"Tidak dapat berlatih di lebuh raya memberi sedikit kesan latihan sepenuhnya.
"Jadi atlet hanya dapat berlatih di velodrom sahaja (sedangkan) penyertaan kami bukan sahaja dalam acara trek," katanya jurulatih berbasikal para negara, Salehuddin Noh.
Bagaimanapun, kerisauan kem negara kini tertumpu kepada latihan yang terganggu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memandangkan atlet berbasikal lebuhraya para tidak dibenarkan berkayuh di jalanan, apatah lagi merentasi daerah dan negeri.
"Saya harap jawatankuasa tertentu membenarkan atlet berbasikal para berlatih di jalan raya," katanya.
Sementara itu, atlet compound memanah para, Wiro Julin, mahu menjadikan aksi kelayakan terakhir Sukan Paralimpik di Republik Czech sebagai medan pemanas badan sebelum mengharungi cabaran sebenar.
Ia juga kejohanan pertama buat Wiro sejak kali terakhir bersaing secara kompetitif dalam kejohanan simulasi secara virtual di Majlis Sukan Negara tahun lalu.
Wiro, yang layak buat kali pertama ke temasya berkenaan sebagai juara Asia pada 2019, turut mengharapkan jumlah atlet memanah para ke temasya itu bertambah yang menyaksikan Hasihin Sanawi dan Nur Jannatun Abd Jalil turut berpotensi untuk layak.
Juara dunia recurve para, S. Suresh, juga bakal menyertai rombongan itu bulan depan bagi mengukur tahap prestasi semasanya selepas sekian lama kemarau aksi antarabangsa.