Skuad hoki negara kendalian Stephen Van Huizen bersedia untuk berdepan sebarang format pertandingan Sukan Asia Indonesia 2018, Ogos depan, ketika proses undian beberapa jenis sukan di Jakarta pada 5 Julai ini tidak membabitkan sukan itu.
Tidak kira sama ada sukan hoki akan dijalankan secara round robin atau dibahagikan kepada dua kumpulan, ternyata The Malaysian Hockey Tigers bersedia dengan apa jua kemungkinan dalam misi untuk memburu pingat emas bagi mengesahkan tiket automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020
“Dua kumpulan yang terdiri daripada 10 pasukan, kami rasa cabaran di sana akan dapat kami jangkakan berdasarkan ranking pasukan yang menyertai saingan. Jika dijalankan secara round robin, saya tidak pasti berapa pasukan yang terlibat dalam Sukan Asia.
“Kami hanya akan mengetahuinya apabila menerima pengesahan format. Segalanya perlu dilihat kepada format terlebih dahulu,” ujar ketua jurulatih, Stephen Van Huizen.
“Sekarang kami banyak melalui sesi latihan menerusi situasi bola mati selepas melakukan larian. Jadi, saya rasa undian kumpulan itu tidak penting kerana tidak kira siapa lawan, kami harus menang bagi mendapatkan pingat emas,” tambah penjaga gol negara, S. Kumar.
“Kami dalam pasukan memang sentiasa bersedia dengan format yang diberi, jadi kami akan menghadapinya. Ini adalah kejohanan yang penting dan kami akan meneliti perlawanan demi perlawanan,” kata pemain kebangsaan, Muhammad Razie Rahim.
Penulis Jemputan
Thu Jun 28 2018