Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) muncul satu-satunya wakil negara yang bersetuju menghadiri proses undian lapan acara Sukan Asia Indonesia, 5 Julai depan, ketika Majlis Olimpik Malaysia (MOM) masih menunggu maklum balas persatuan sukan lain.
PSM tetap komited walaupun kecewa dengan keputusan MOM meletakkan skuad wanita mereka dalam kategori B ke Sukan Asia.
Datuk Ahmad Ismail akan mengetuai PSM menyaksikan majlis undian di Jakarta yang akan turut membabitkan bola sepak, bola keranjang 5 lawan 5, bola baling, kabaddi, ragbi 7s, bola tampar dan polo air.
Paling mencuri tumpuan pastilah undian bola sepak walaupun Malaysia akan turun sebagai pasukan bukan pilihan.
"Kami masih lagi belum mendapatkan maklum balas daripada skuad bola sepak bahawa mereka akan menyertai acara undian. Kami berharap Malaysia berada dalam undian yang baik dan dapat tampil dalam perlawanan akhir," kata Setiausaha agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib.
Malaysia akan menghantar kontinjen terbesar dalam sejarah dengan 447 atlet yang membabitkan 35 jenis sukan.
Penulis Jemputan
Tue Jun 26 2018