Atlet lompat jauh negara, Luqman Hakim Ramlan, percaya dengan kemampuan untuk menempatkan diri dalam kalangan lapan terbaik menjelang Sukan Asia Indonesia 2018 dari 18 Ogos hingga 2 September depan.
Selepas melakukan catatan peribadi terbaik, iaitu 7.82 meter, dalam Kejohanan All Comers Wilayah Persekutuan, Mac lalu, Luqman hanya dibezakan 0.06m berbanding rekod kebangsaan milik Josbert Tinus.
Terbuka Vietnam yang melabuhkan tirainya hujung minggu lalu menyaksikan Luqman terlepas kedudukan pingat apabila menduduki tempat keempat dengan lompatan sejauh 7.56m.
Justeru, rekod kebangsaan menjadi matlamat utamanya dalam temasya Jakarta-Palembang 2018 tetapi Luqman bertekad untuk cuba menjangkaui jarak 8m dalam usaha menduduki kelompok lapan terbaik Asia.
"Atlet-atlet dari negara Arab kebanyakannya telah membuat catatan melebihi 8m.
"Oleh itu, jika saya menginginkan medal, saya perlu membuat catatan yang mencecah 8m.
"Malah, jika saya dapat memecah rekod kebangsaan sekalipun, ia masih belum cukup untuk memenangi medal," katanya.
Penyertaan Luqman di Indonesia nanti menebus kehampaan tersendiri buatnya selepas tidak mengambil bahagian dalam edisi empat tahun lalu.
Ketika itu, dia antara yang terawal untuk melayakkan diri ke temasya Incheon 2014, namun terpaksa menarik diri berikutan kecederaan.
"Saya sudah bertungkus-lumus menjalani persiapan.
"Jika diikutkan, persiapan untuk menghadapi cabaran Sukan Asia bukan seperti persiapan yang lazim dilakukan.
"Dengan Sukan Asia semakin dekat, tiada masa lagi untuk saya berlengah-lengah dan persiapan saya berjalan dengan cukup lancar setakat ini," ujarnya.
Penulis Jemputan
Tue Jul 31 2018