EURO 2024

Stephen Kenny ketepikan spekulasi menjelang aksi lawan Gibraltar

Fatin Ruzaiman 16/10/2023 | 04:24 MYT
Stephen Kenny tidak akan membenarkan spekulasi mengenai masa depannya menjadi gangguan ketika Republik Ireland cuba menamatkan kempen kelayakan Euro 2024 dengan positif.
Ireland bakal menghadapi pasukan tercorot kumpulan B, iaitu Gibraltar, di Faro awal pagi esok dalam perlawanan terakhir mereka setelah memenangi hanya satu daripada enam perlawanan pusingan kelayakan, yang menyaksikan mereka gagal layak secara automatik ke kejohanan utama dan perlu bergantung kepada peluang tipis untuk ke play-off selepas kekalahan 0-2 kepada Greece pada Jumaat lalu.
Ia sudah pasti meningkatkan tekanan buat pengurus itu, di mana negara berkenaan tidak pernah layak menyertai mana-mana kejohanan utama sejak Euro 2016.
Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada perkara itu mengganggunya, Kenny, yang menerima jaminan mengenai kedudukan daripada Ketua Eksekutif Persatuan Bolasepak Ireland, Jonathan Hill, berkata: "Tidak.
"Saya perlu menjadi realistik. Jonathan Hill menjelaskannya dengan berkata bahawa 'Stephen bakal kekal menjadi pengurus sehingga perlawanan pada bulan November' dan mereka akan membuat penilaian dan semakan terhadap perkara itu.
"Buat masa ini, itu di luar kawalan saya. Ia sangat penting untuk mencuba dan menang ketika pertemuan dengan Greece. Kami tidak berjaya melakukannya, dan saya faham itu bukan keputusan yang baik buat kami.
"Tetapi dari pandangan saya, saya dilantik sehingga akhir kempen ini, jadi saya hanya mahu menamatkan kempen dengan cemerlang. Jika terpaksa ke play-off, kami akan menilainya dari situ."
#Stephen Kenny #Kelayakan Euro 2024 #Repulik Ireland
;