Skuasy Terbuka Malaysia: Skuad negara raih gelaran berganda selepas sembilan tahun
Penulis Jemputan
September 29, 2019 23:21 MYT
September 29, 2019 23:21 MYT
Pemain skuasy negara, Ng Eain Yow, menjejaki momentum cemerlang rakan senegara, Rachel Arnold, apabila muncul juara baru kategori lelaki Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia.
Eain Yow mempamerkan aksi menakjubkan dalam pertembungan di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, hari ini apabila menewaskan pilihan kedua kejohanan dari Switzerland, Nicholas Mueller, 11-7, 12-14, 11-9, 11-5 dalam tempoh 55 minit.
Edisi tahun ini menyaksikan juara baru itu yang juga diletakkan sebagai pemain bukan pilihan, Eain Yow dan Rachel, mengejutkan lawan masing-masing dalam perlawanan akhir.
Dengan kejayaan itu, Malaysia menamatkan kemarau sembilan tahun untuk bergelar juara berganda selepas kali terakhir dilakukan Azlan Iskandar dan Datuk Nicol Ann David.
"Pencapaian (Azlan-Nicol) itu mula bermain dalam fikiran saya selepas terbaca mengenainya.
"Jadi, ia agak memberi tekanan kepada saya untuk meraih kejuaraan tetapi saya fikir telah menanganinya dan bermain dengan baik hari ini.
"Saya sangat gembira dapat merampas semula gelaran (buat Malaysia)," kata Eain Yow.
Rachel pula berkata: "Kejuaraan ini pasti akan melonjakkan ranking saya memandangkan dalam beberapa bulan ini, saya sentiasa berlegar dalam kedudukan ke-46 dunia."