Meskipun kurang pendedahan, ketua jurulatih skuad silat negara, Nasri Nasir, tetap berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang mara ke final Kejohanan Silat Terbuka Antarabangsa Malaysia di ibu negara hari ini.
Jurulatih itu tidak meletakkan sebarang sasaran dalam kejohanan berkenaan kerana hanya mahu menjadikannya sebagai platform untuk menilai prestasi setiap atlet negara.
Baginya, pesilat negara juga perlu memanfaatkan kesempatan itu menjelang Sukan SEA Filipina, November depan.
"Ini merupakan salah satu platform untuk saya menilai setakat mana tahap prestasi sebenar atlet silat seni untuk dibandingkan dengan negara lain yang akan menyertai Sukan SEA tahun ini," katanya.
Sementara itu, pesilat lelaki negara, Luqman Laji, mahu mengkaji rentak lawan, terutama melibatkan wakil dari Singapura, yang dianggap sebagai pencabar utama.
"Sukan SEA merupakan persembahan (penyertaan) pertama saya.
"Kejohanan ini memang amat membantu daripada segi persediaan kerana saya memang kurang sangat (menyertai) kejohanan.
"Dalam kejohanan ini, saya dapat nampak pesaing saya dari Singapura.
"Dia juga juara ASEAN, jadi ia (kejohanan ini) amat bagus untuk saya," katanya.
Penulis Jemputan
Thu Sep 26 2019