Ketua serata Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Wan Mohd Husni Abdullah, menolak persepsi bahawa kepimpinan kali ini masih dibayangi mantan presiden, Datuk Seri Ahmad Ismail.
Ini selepas tiada pertandingan jawatan menjelang mesyuarat agung badan induk itu esok yang menyaksikan kebanyakan calon menang tanpa bertanding.
Dakwaan itu timbul setelah presiden baru, Datuk Sumali Reduan dianggap masih lagi merupakan sebahagian daripada legasi Ahmad Ismail.
Apatah lagi pemilihan yang dijangka sengit menjadi anti-klimaks apabila calon berwibawa dari Kelantan, Zuraidin Abdullah menarik diri pada saat akhir.
Namun Husni yang juga merangkap presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan meminta semua pihak untuk memberikan Sumali peluang bagi membawa nafas baru buat kepimpinan psm untuk penggal ini sehingga 2025.
Dalam masa sama, Wan Husni juga meminta kempimpinan baru untuk memberikan peluang untuk melakukan penilaian sebelum membuat sebarang keputusan membabitkan rombakan terhadap skuad kebangsaan.
Ia ekoran skuad negara mempunyai kurang tiga bulan sahaja menuju ke Sukan SEA Vietnam Mei ini, dan dikhuatiri perubahan saat akhir bakal memberikan impak terhadap prestasi skuad negara di Hanoi.
Ammar Hakim
Fri Feb 11 2022