Penyerang Pasukan Hoki Terengganu (THT), Faizal Saari, bersedia untuk menghasilkan lebih jaringan dalam separuh akhir kedua Piala TNB esok.

Penyerang negara itu menepati statusnya sebagai pakar pukulan sudut penalti THT apabila menghasilkan dua gol ketika membantu pasukannya menundukkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-1 dalam perlawanan pertama di Stadium Hoki Tun Razak, semalam.

Bagi Faizal, dia sudah melakukan persediaan awal untuk beraksi dengan motivasi tinggi selepas dilabel penyerang terpantas dunia oleh pengendali skuad negara, Roelant Oltmans.

"Berdasarkan persembahan saya musim ini, saya mendapati semangat dan tahap keyakinan saya semakin meningkat.

"Saya perlu meneruskan prestasi seperti itu untuk membantu THT," katanya.

Penyerang berusia 28 tahun itu sudah menjaringkan 11 gol buat THT sepanjang musim ini.

Meskipun mempunyai kelebihan jaringan, Faizal menyarankan agar rakan sepasukannya tetap berwaspada dalam aksi separuh akhir kedua di venue sama esok.

"Kami masih perlu menghadapi separuh akhir kedua dan macam-macam perkara boleh terjadi.

"Kelebihan dua gol sememangnya membantu, namun kami tidak boleh mengambil mudah kemampuan TNB.

"Mereka memiliki ramai pemain muda yang mampu berlari pantas, jadi kami perlu menyaingi kepantasan mereka," tambahnya.