Piala Sultan Azlan Shah: Pakistan sekat kemenangan pertama Malaysia
Muzaffar Musa
November 2, 2022 21:56 MYT
November 2, 2022 21:56 MYT
MALAYSIA 1 PAKISTAN 1
Hasrat skuad hoki negara untuk meraih kemenangan pertama dalam saingan Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2022 tidak kesampaian selepas Pakistan bangkit mengikat kedudukan 1-1 dalam perlawanan kedua pusingan awal di Ipoh sebentar tadi.
Selepas tewas 0-3 kepada Korea Selatan dalam perlawanan pertama semalam, pasukan bimbingan Arul Selvaraj perlu memanfaatkan aksi menentang musuh tradisi, Pakistan, bagi meraih tiga mata pertama.
Segalanya tampak baik sejak dari awal permainan, di mana The Malaysian Hockey Tigers terlebih dahulu menggegarkan jaring lawan menerusi jaringan padang Shello Silverius pada minit ke-26.
Bagaimanapun, asakan bertali arus yang dilakukan Pakistan pada awal suku ketiga menyaksikan mereka mendapat pukulan sudut penalti yang kemudian disempurnakan Ahmad Arbaz pada minit ke-36.
Keputusan seri itu menyaksikan Malaysia kekal menduduki tangga tercorot daripada enam pasukan bertanding selepas hanya memungut satu mata berbaki tiga perlawanan.
Skuad negara seterusnya akan meneruskan saingan dengan menentang Afrika Selatan pada Jumaat ini.