Piala Negara-Negara UCI: Kecederaan muka sekat hajat Azim Aliyas
Shaiful Shamsudin
April 15, 2023 19:02 MYT
April 15, 2023 19:02 MYT
Siapa sangka ketika sedang menikmati kemuncak karier, atlet berbasikal, Abdul Azim Aliyas, diuji dengan kecederaan serius.
Ia selepas satu kemalangan ngeri ketika bertanding dalam satu perlumbaan di Belgium, Selasa lalu.
Akibat kemalangan itu, Azim bakal terlepas kejohanan besar Piala Negara-Negara di Kanada, Selasa depan.
Walaupun bertekad terus bertanding dalam kejohanan itu, namun usahanya dihalang oleh jurulatih kebangsaan, John Beasley, yang menuntut Azim supaya terus berehat dan pulih sepenuhnya sebelum mula bersaing dalam Kejohanan Trek Asia, Jun depan.
"Saya terjatuh atas batu jenis 'cobble'.
"Sebaik bangun, saya meracau mengenai perlumbaan sebab belum nampak lagi keadaan muka yang tercedera ketika itu sebelum jururawat memaklumkannya.
"Saya maklumkan kepada pengurus di sini yang merupakan rakyat tempatan bahawa saya masih berupaya berlumba bagi baki perlumbaan termasuk sebagai persediaan menghadapi saingan di Kanada kelak.
"Beasley berpesan supaya saya tidak terburu-buru untuk kembali berlumba.
"Pada awalnya saya agak sukar menerimanya," katanya.