Piala Dunia ISTAF: Malaysia akur kehebatan Thailand
Sinar Harian
November 29, 2022 15:54 MYT
November 29, 2022 15:54 MYT
Skuad sepak takraw negara kempunan untuk merangkul pingat emas acara regu lelaki selepas tewas 0-2 kepada juara bertahan, Thailand, dalam perlawanan akhir Piala Dunia Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) 2022 hari ini.
Dalam aksi di Kompleks Sukan Daejon Hanbat, Korea Selatan itu, skuad negara dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohammad Azlan Alias dan Amirul Zazwan Amir bermula dengan langkah kiri apabila tunduk 18-21 dalam set pertama.
Set kedua juga menyaksikan skuad negara terus hampa apabila tewas 19-21 kepada Gajah Perang yang membariskan Kritsanapong Nontakote, Thawisak Thongsai dan Yodsawat Uthaijaronsri.
Dalam edisi Piala Dunia ISTAF pertama di Kuala Lumpur pada 2011, Thailand dibarisi Siriwat Sakha, Pornchai Kaokaew dan Pattarapong Yupadee menewaskan Noor Azman Hamid, Norshahruddin Mad Ghani dan Farhan Adam, 15-4, 15-6, 15-11.
Gajah Perang terus melebarkan penguasaan apabila gandingan Kritsanapong Nontakote, Jirasak Pakbuangoen dan Rachan mempertahankan kejuaraan edisi kdi Hyderabad pada 2017 apabila mengatasi Mohammad Syahir, Mohd Norhafizi Abdul Razak dan Farhan Adam 21-19, 23-21.
Untuk rekod, Piala Dunia ISTAF tidak dapat dilangsungkan pada 2014 selain edisi 2018 hingga 2021 juga dibatalkan gara-garan pandemik Covid-19.
Kredit: Sinar Harian
Kredit foto: Malaysia Sepaktakraw Federation