Piala Dunia Hoki FIH: Malaysia tamatkan kempen di tempat ke-13
Muzaffar Musa
Januari 28, 2023 16:16 MYT
Januari 28, 2023 16:16 MYT
MALAYSIA 3 JEPUN 2
Skuad hoki negara menamatkan kempen Piala Dunia Hoki FIH 2023 di tempat ke-13 selepas menewaskan Jepun 3-2 dalam perlawanan klasifikasi di Stadium Hoki Antarabangsa Birsa Munda, Rourkela sebentar tadi.
The Speedy Tigers terlebih dahulu di depan menerusi gerakan pukulan sudut penalti yang disempurnakan Shello Silverius pada minit kelapan.
Bagaimanapun, Jepun mempamerkan kebangkitan untuk mengikat kedudukan menerusi gol padang Kaito Tanaka pada minit ke-24 sebelum Seren Tanaka meletakkan mereka di depan melalui satu lagi jaringan padang selepas dua minit separuh masa kedua bersambung.
Namun, kelebihan itu bertahan tidak sampai seminit apabila Shello sekali lagi bertindak sebagai penjaring gol negara, kali ini menerusi gol padang.
Dua minit kemudian, penyerang muda negara, Shahmie Irfan Suhaimi, berhasil menemui gol pertamanya di peringkat antarabangsa, sekali gus menjadi wira kemenangan Malaysia.
Kredit foto: FIH/World Sports Pic