Atlet memanah recurve para negara, Ahmad Jaffri Jamaluddin, yakin dapat merebut satu daripada dua slot acara individu bagi Sukan Para Asia di Indonesia, Oktober depan.

Tiada kelayakan diperuntukkan bagi acara memanah, namun skuad para negara hanya mempunyai dua slot individu berikutan ketiadaan pemanah wanita.

Sementara itu, bahagian compound bakal mempertaruhkan lima pemanah.

Menurut Jaffri, segala kelemahan yang terserlah, khususnya ketika Sukan Para Asean Kuala Lumpur tahun lalu telah diteliti dan dia yakin ia dapat diatasi sebelum ke Indonesia nanti.

"Tiada kelayakan di samping ketiadaan saingan berpasukan, sebaliknya hanya individu.

"Setakat ini, saya agak yakin tersenarai berdasarkan persembahan tahun ini yang konsisten, meningkat berbanding tahun lepas," katanya.

Secara keseluruhan, sukar buat Jaffri untuk menilai prestasi semasa kerana lebih banyak menjalani latihan dalam negara berbanding pertandingan tahun ini.

Kejohanan Kebangsaan awal tahun ini di samping satu sirkit memanah para menjadi peluang buatnya menilai kemampuan.

Begitupun, dia mengharapkan siri persahabatan menentang beberapa pasukan negeri dapat mengisi momentum serta rentak pertandingan sebelum dia memberi tumpuan kepada Sukan Para Asia.

"Persiapan kami lebih tertumpu di sini dan tidak menyertai pertandingan di luar.

"Setakat ini, kami mengadakan perlawanan ujian dengan atlet normal," tambahnya.