Paralimpik Tokyo 2020: Jamery Siga tidak sia-siakan pesanan mendiang isteri

Shaiful Shamsudin
Ogos 11, 2021 18:53 MYT
Atlet renang para negara, Jamery Siga, bagaikan hilang hala tuju selepas kehilangan isteri tersayang, Annissa Saksriprapa Nantharat Sunan, tetapi kata-kata semangat mendorongnya untuk kembali beraksi dalam Sukan Paralimpik Tokyo, bemrula 24 Ogos ini.
Jamery membatalkan hasratnya untuk bersara dan bertekad berjuang demi keluarga dan harapan mendiang isterinya dalam mencapai impiannya.
Isterinya terlibat dalam kemalangan jalan raya di Limbang, Sarawak, pada November 2018 lalu meninggalkannya bersama seorang anak lelaki buat selama-lamanya.
Pada saat dirinya hampir berputus asa, kata-kata mendiang isteri tercinta kembali bermain di fikiran Jamery dan membuatkannya menyedari kesilapannya mensia-siakan perjalanannya dalam sukan dengan begitu sahaja.
"Sebelum meninggal dunia, dia pesan jangan berputus asa, fokus kepada latihan dan buat terbaik demi kami.
"Dia sentiasa berkata bahawa dia dalam keadaan baik, jadi saya perlu fokus sahaja kepada latihan dan pertandingan," katanya di Nadi Arena.
Jamery mahu bangkit semula daripada kegelapan dan kini berusaha ke arah mencapai misi dalam Sukan Paralimpik Tokyo demi keluarga termasuk mendiang isterinya.
"Saya berjuang ini demi untuk mereka. Saya tidak mahu mengenangkan kisah lalu yang menyedihkan.
"Saya harap keluarga dapat menjaga anak dengan baik demi perjuangan saya untuk Malaysia. Yang sudah meninggal akan tetap pergi.
"Saya harus buat terbaik dalam Sukan Paralimpik demi anak, keluarga dan mengharumkan nama Malaysia," katanya.
#Renang #Sukan Paralimpik Tokyo
;