OLIMPIK TOKYO

Olimpik Tokyo: Pengalaman Shu Wai inspirasi utama Shu Liang

Ammar Hakim 14/07/2021 | 11:03 MYT
Jurulatih gimnastik lelaki negara, Ng Shu Liang, menjadikan penampilan adiknya, Ng Shu Wai dalam Sukan Olimpik Athens 2004 sebagai inspirasi utama untuk cabarannya sebagai jurulatih dalam Sukan Olimpik Tokyo.
Shu Liang mengakui perkongsian Shu Wai menerusi pengalaman beraksi dalam Olimpik 17 tahun lalu sedikit sebanyak membantunya dalam aspek persiapan atletnya, Jeremiah Loo ke Tokyo nanti.
"Shu Wai sentiasa bersama saya dan kami sentiasa mengkaji perkara yang terbaik bagi sukan gimnastik negara dan kami sentiasa mahu melakukan demi negara," kata Shu Liang.
Jurulatih berusia 38 tahun itu sememangnya teruja untuk penampilan sulung dalam Olimpik walaupun hanya sebagai jurulatih, setelah tidak dapat berbuat demikian sebagai atlet sebelum ini.
Namun, Shu Liang tidak meletak harapan tinggi kepada Jeremiah di Tokyo sebaliknya mahu melihat kemampuan atlet berusia 24 tahun itu melakukan pencapaian lebih baik berbanding atlet lain dari benua Asia Tenggara.
"Ini adalah peluang kami untuk menilai persembahan negara-negara Asia Tenggara kerana mereka akan bertemu dalam Sukan SEA nanti. Jadi ia adalah peluang terbaik untuk menilai dan mengkaji apa yang terbaik bagi gimnas negara."
;