Impian olimpian negara, Datuk Leong Mun Yee, kini menjadi realiti apabila secara rasminya menubuhkan Akademi terjun dengan kerjasama Akademi D'swim (DSA).

Mun Yee yang sudah lama menyimpan hasrat untuk menubuhkan sebuah akademi yang memberi lebih pendedahan dan akses buat orang ramai berkecimpung dalam sukan terjun, gembira kerana ia secara tidak langsung bakal menjadikan sukan kesayangannya sebagai salah satu sukan popular di Malaysia.

Turut ditemui di majlis perasmian tersebut, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menyifatkan kerjasama itu sememangnya satu inisiatif baik untuk mewujudkan fasiliti dan kemudahan bertaraf tinggi untuk generasi muda selain melahirkan atlet terjun untuk negara, di masa depan.

"Penubuhan akademi ini secara tidak langsung dapat dijadikan sebagai platform pencarian bakat bagi peringkat umur lima hingga 12 tahun. Saya juga mengalu-alukan sesiapa yang berumur 12 tahun ke atas untuk menyertainya dan lebih baik lagi jika mereka ada latar belakang sukan gimnastik, trampolin mahupun balet.

"Diharapkan lebih ramai penerjun muda dapat dilahirkan, seterusnya memastikan sukan terjun lebih maju pada masa depan dan menyumbang emas pertama negara dalam Sukan Olimpik,” kata Hannah.