Memasuki minggu keenam saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL), pasukan pendahulu, Selangor MAC, mengekalkan rentak kemenangan dalam sembilan perlawanan berturut-turut biarpun hampir dikejutkan KPT-PST Mustang di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, hari ini.
Ayam tambatan, Fariq Mohammad, muncul penyumbang dua gol untuk memastikan kemenangan 5-2 buat pasukan gergasi tanah air itu, sekali gus kekal di tangga teratas dengan 27 mata daripada 10 perlawanan.
Fariq membuka jaringan seawal minit kedua sebelum Qaiser Heshaam Abdul Kadir menggandakan kelebihan buat Mac pada minit kelapan.
Bagaimanapun, Mustang berhasil merapatkan jurang menerusi gol sendiri Fariq pada minit ke-23 sebelum Aidil Izwan Mazlan kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-26.
Mustang mencipta kejutan untuk berada di depan pada minit ke-31 hasil penyudah Irfan Rifki Shahrul Nizam, namun Mac membalasnya dengan tiga gol pantas bermula dengan jaringan kedua peribadi Fariq serta masing-masing satu daripada Muhammad Ekmal Shahrin dan Silva Matheus Vasconcelos.
*Kredit foto: FAM
Muzaffar Musa
Sun Feb 20 2022