MOM harap Program Podium bantu realisasi misi emas pertama Olimpik
Disember 6, 2016 05:20 MYT
Majlis Olimpik Malaysia (MOM), menaruh harapan tinggi agar Program Podium berupaya untuk memastikan kegagalan ketika Sukan Olimpik Rio tidak akan berulang apabila Malaysia meneruskan misi memburu pingat emas pertama temasya itu di Olimpik Tokyo 2020.
Di sebalik merekodkan pencapaian terbaik di Olimpik menerusi pungutan empat pingat perak dan satu gangsa, tetap ada rasa terkilan.
Badminton, misalnya, dengan Malaysia beraksi dalam tiga acara final tetapi dipaksa berputih mata, terutama bagi saingan beregu lelaki.
"Kita begitu hampir untuk meraih pingat emas di Olimpik Rio dan tidak mustahil untuk melakukannya di Tokyo.
"Saya berasa Program Podium merupakan program yang baik serta sangat profesional. Ia bukan mudah untuk berada dalam Program Podium kerana memerlukan banyak kriteria," jelas Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar
Program Podium bertujuan untuk memastikan setiap hasrat Malaysia di pentas sukan tertinggi dunia menjadi kenyataan.
Antara elemen utama program itu adalah pemantapan psikologi sukan bagi membantu meningkatkan ketahanan mental atlet.
"Pendekatan Program Podium adalah kami menitikberatkan aspek fisiologi serta psikologi yang akan meningkatkan lagi prestasi atlet.
"Saya tidak berasa ia akan menjadikan mereka lebih teruk," tambahnya.
MOM dalam mesyuarat lembaga eksekutuf terakhir bagi tahun 2016 semalam menerima laporan pasca Olimpik Rio daripada chef-de-mission (CDM), Tan Sri Al-Amin Abdul Majid, dengan beliau turut menegaskan keperluan melantik CDM Olimpik Tokyo lebih awal bagi memastiakn persiapan lebih rapi dapat dijalankan.