Datuk Malek Noor bingung mengapa Kejohanan Mr Asia, Mr Universe dan Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) membatalkan kesemua kejohanan tempatan tahun ini.

Bekas jaguh bina badan negara itu menggambarkan tindakan tersebut sebagai tak masuk akal sedangkan sukan lain yang mempunyai sentuhan boleh dijalankan tetapi tidak bina badan.

"Atlet kita antara peserta terbaik di Asia.

"Sekarang kita sudah sedikit bebas daripada SOP (prosedur operasi standard) ,misalnya bola sepak dan renang yang ada pendekatan sendiri.

"Saya musykil mengapa bina badan tidak mengadakan kejohanan sedangkan ia melibatkan jarak. Peserta tidak perlu bergomol, tiada bersentuhan, sangat bersifat individu," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Muiz Aziz.

Juara enam kali kategori heavyweight Mr Asia itu berkata pembinaan otot bagi atlet mencapai tahap terbaik perlu dilakukan secara berperingkat.

"Bukan senang untuk atlet membina otot tepat pada masanya. Kalau ada senarai kejohanan, ia memudahkan mereka untuk mengatur jadual latihan.

"Ini kerana sebelum COVID-19, banyak kejohanan diadakan di merata tempat."