Pemain bintang negara, An Najwa Azizan, menyifatkan persembahan skuad kebangsaan dalam Kejohanan Bola Jaring Empat Penjuru, April lalu, tidak berada di tahap sebenar.

Baginya, skuad bola jaring negara perlu memanfaatkan peluang beraksi dalam Kejohanan Jemputan 2019 di Malaysia yang belum ditetapkan tarikhnya tatkala ia membabitkan negara seperti Papua New Guinea dan Kenya selepas menyaksikan prestasi skuad kebangsaan yang sedikit menurun.

Dia juga menambah skuad kebangsaan kini berada di landasan terbaik untuk melalui pendedahan dalam kejohanan di mana mereka mampu memperoleh pengalaman dan mematangkan pemain.

"Ia sebenarnya bagus untuk proses pembelajaran, namun jika melihat daripada segi prestasi, saya rasa pasukan kami belum mencapai tahap itu. Ia normal tetapi kami boleh tahu di mana tahap kami. Kejohanan sebegitu bagus untuk pembangunan pasukan," katanya.

Sasarannya adalah saingan Sukan SEA di Filipina November depan agar skuad kebangsaan dapat mempertahankan pingat emas yang dimenangi dalam edisi lalu di Kuala Lumpur.

"Untuk hujung tahun ini, ada Sukan SEA. Sekarang kami banyak melakukan persiapan serta latihan, jadi ia cuma proses seperti biasa."