Luncur ais mampu jadi sukan popular di Malaysia -- Bee Leng
Penulis Jemputan
Jun 15, 2017 21:30 MYT
Jun 15, 2017 21:30 MYT
Jurulatih luncur ais, Tan Bee Leng, mahu mengetengahkan sukan luncur ais dengan mengharapkan penampilan anak buahnya menjadi pencetus minat rakyat Malaysia dalam Sukan SEA, 19-30 Ogos ini.
Ketika ramai yang mempertikaikan kesesuaian sukan luncur ais dengan cuaca di Malaysia yang beriklim panas dan lembap, Bee Leng pantas menyangkal rumusan mudah seperti itu.
Dia sebaliknya menegaskan luncur ais mampu menjadi sukan popular di Malaysia dengan anak buahnya bakal membuktikannya dalam temasya dwi-tahunan itu nanti.
Bee Leng, yang merupakan jurulatih luncur ais bagi acara short track speed yakin anak buahnya mampu menuai sekurang-kurangnya dua emas buat negara.
"Kami akan tunjukkan kepada Malaysia sukan luncur ais dan ia mampu menjadi sukan yang popular di negara ini. Kami mahu mengubah persepsi terhadap sukan ini di mata masyarakat," katanya.
Sementara itu, atlet short track speed, Wong De Vin, yakin acara 3,000 meter berganti-ganti dan individu 500 meter mampu disudahkan dengan kejayaan manis buat Malaysia.
Dia yang berjinak dengan sukan ais sejak berusia 16 tahun melewati pencapaian terbaik dengan berada di ranking 26 dunia bagi acara 500 meter tahun lalu.
Pelajar dari Unitervisi Tailor itu turut menegaskan kekangan utama daripada peserta Asia Tenggara hanya melibatkan Singapura, namun yakin atlet negara jiran itu mampu dijinakkan dalam Sukan SEA, nanti.
"Atlet Malaysia memiliki kelebihan daripada segi fizikal dalam acara ini dan memiliki kemahiran yang tinggi," kata De Vin.
Seorang lagi atlet short track speed, Khairil Ridhwan Khalil, turut tidak mahu ketinggalan untuk menyumbang kejayaan buat negara.
Walaupun melewati kekangan daripada segi pembelajaran di mana dia bakal menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tahun ini, itu tidak menghalang Khairil meneruskan latihan seperti biasa dan dalam masa yang sama perlu bijak membahagi masa untuk pembelajarannya.
Anak jati Selangor itu yang menyumbang tiga emas dalam acara 1500 meter, 1,000 meter dan 500 meter dalam Terbuka Singapura, Januari lalu, memberi bayangan yang baik untuk temasya nanti.
"Saya bernasib baik kerana sekolah saya memberikan sokongan kepada saya untuk membuat persiapan ke Sukan SEA, dalam masa sama mereka menasihatkan supaya tidak mengabaikan pelajaran," kata Khairul.
Lapan acara akan dipertandingkan dalam Sukan SEA ke-29, iaitu luncur ais berbunga (figure skating) lelaki dan wanita dan enam acara luncur ais short speed.