Kontinjen negara mencipta sensasi dalam penyertaan Sukan SEA Singapura 2015 apabila mengutip 62 pingat emas untuk meraih pencapaian kedua terbaik di luar Kuala Lumpur.

Sukan SEA Singapura menawarkan temasya eksklusif buat semua negara yang bertanding.

Bersaing dalam suasana serba moden di Kota Singa, kontinjen negara mempamer prestasi luar biasa apabila berjaya mengutip keseluruhan 62 pingat emas, 58 perak dan 66 gangsa.

Pencapaian 62 emas mengatasi kutipan emas 2009 di Laos, 2011 di Indonesia dan 2013 di Myanmar.

Ia adalah pencapaian kedua terbaik di luar Kuala Lumpur selepas edisi 2007 di Korat, Thailand dengan 68 pingat emas.

62 emas disumbang menerusi 22 sukan berbanding kutipan 68 emas daripada 19 sukan yang disertai pada edisi 2007.

Daripada 329 acara di Singapura, kontinjen negara berjaya melepasi sasaran enam jenis sukan teras, iaitu badminton, berbasikal, memanah, gimnastik, pelayaran serta menembak.

Atlet gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi, muncul atlet paling banyak memenangi pingat menerusi dua emas, satu perak dan tiga gangsa.

"Ketika acara terakhir sambil menunggu markah, kami sudah jangka (emas) sebab kami asyik menang emas. Itu detik yang paling tidak boleh dibayangkan.

"Kami semua sangat seronok, keluarga saya berada di sana, semua beremosi di sana. Akhirnya kami berjaya," katanya.

Sementara itu, pencapaian Muhammad Hakimi Ismail dari sukan olahraga juga membanggakan susulan kejayaannya mencipta sejarah tersendiri.

Menamatkan penantian 18 tahun emas acara lompat kijang lelaki, Hakimi mencipta rekod baru Sukan SEA dan rekod kebangsaan.

Bagaimanapun, ada beberapa sukan berprestasi tinggi atau sukan teras seperti bola sepak dan tinju yang gagal menghasilkan kutipan pingat yang disasarkan.

Mujur, edisi Singapura menyaksikan kecemerlangan atlet muda tatkala Fatin Nur Fatehah Mat Salleh membuat kejutan menerusi tiga emas acara memanah compound individu wanita.

Emas ke-60 yang diraih skuad bola keranjang wanita negara juga menjadi detik istimewa buat kontinjen negara dalam temasya itu.

"Memang kami tak pernah terlintas untuk memenangi emas negara yang ke-60. Pada masa itu, kami agak terkejut," kata kapten skuad bola keranjang wanita, Nur Izzati Yaakob.

"Walaupun kontinjen yang dihantar adalah atlet yang menyertai Sukan SEA buat kali pertama, kita telah menunjukkan prestasi yang membanggakan," kata chef-de-mission kontinjen negara ke Sukan SEA Singapura, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. "Sementara itu, prestasi doping juga menunjukkan sifar."