Dua gol ketika membelasah Oman hari ini cukup penting buat penyerang hoki negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, selepas 18 bulan tidak mewakili Malaysia.
Penyerang Terengganu Hockey Team (THT) itu kembali menyarung jersi kebangsaan selepas mempamerkan aksi memberangsangkan dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2017.
Kehadirannya di dalam pasukan ternyata memberikan impak besar apabila meledak dua gol dalam perlawanan kedua Liga Hoki Dunia berdepan Oman.
"Ia merupakan satu jaringan yang sangat bermakna, saya sangat gembira kerana dapat membantu pasukan dan ia memberikan keyakinan buat saya menjaringkan gol di pentas antarabangsa," kata Tengku Ahmad Tajuddin.
Penyerang berasal dari Kangar, Perlis itu turut menyedari bahawa dia perlu mempertingkatkan lagi prestasinya bagi menghadapi perlawanan yang mendatang.
"Saya menyedari prestasi permainan saya agak merudum berbanding sebelum ini, saya akan cuba untuk memperbaikinya.
"Bagi perlawanan akan datang, saya akan terus memburu jaringan serta mendapatkan pukulan sudut penalti."
Ammar Hakim
Sun Mar 05 2017