Seluruh dunia gusti profesional hari ini berdukacita dengan berita pemergian bintang legenda tersohor Scott Hall atau popular sebagai ‘The Bad Guy’ Razor Ramon pagi tadi.

Scott Hall dilaporkan telah meninggal dunia pada usia 63 tahun setelah beberapa hari bertarung nyawa dengan alat bantuan pernafasan akibat komplikasi jantung pasca pembedahan di Wellstar Kennestone Hospital yang terletak Marietta, Georgia. Berita kematiannya telah disahkan oleh WWE sendiri melalui satu kenyataan pagi tadi.

Memulakan kerjaya gusti profesionalnya pada tahun 1984 dengan bergusti di beberapa organisasi terkemuka di Amerika Syarikat sebelum akhirnya mencipta nama di WWE pada Mei 1992 dengan menggunakan nama Razor Ramon. Bermula sebagai penggusti berwatak jahat dengan moniker The Bad Guy, Razor terus menjadi kegilaan peminat WWE dan menjadi antara bintang utama di era New Generation di samping Bret The Hitman Hart, Shawn Michaels, Diesel dan ramai lagi. Kehebatan dan karismanya begitu terserlah sehingga diangkat sebagai Juara Antara Benua sebanyak 4 kali di syarikat milik Vince McMahon tersebut.

Di samping karakter ikoniknya sebagai Razor Ramon, penggusti kelahiran Maryland, Georgia ini juga mencipta fenomenanya yang tersendiri apabila bertindak berhijrah ke syarikat pesaing WWE iaitu WCW (World Championship Wrestling) pada Mei 1996. Bersama rakannya Kevin Nash, mereka bergabung tenaga dengan bintang legenda Hulk Hogan selajur membentuk gagasan nWo (New World Order), sekali gus menggegar dunia gusti profesional sehingga tercetusnya perang hebat pada setiap

malam Isnin di antara WCW dan WWE. Populariti nWo begitu mengagumkan sehingga boleh dianggap sebagai antara kumpulan paling berpengaruh dalam sejarah gusti profesional.

Walaupun tidak pernah menggondol kejuaraan utama di WWE dan WCW, namun karakternya yang menghiburkan dengan pencungkil gigi di bibir begitu dekat di hati peminat. Ungkapan “Hey Yo”nya terus meniti di bibir peminat gusti sehingga ke hari ini, menjadikan Scott Hall sebagai antara bintang Hall Of Fame paling diingati sejak dulu, kini dan selamanya.

(Foto: WWE.com)