Kok Chi perjelas ciri-ciri utama pemilihan ketua kontinjen

Penulis Jemputan
November 16, 2018 13:25 MYT
Kemahiran untuk bekerjasama dengan setiap persatuan sukan menjadi ciri-ciri utama buat calon ketua kontinjen negara ke Sukan SEA Filipina 2019.
Pandangan itu disuarakan Penolong Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, bagi mengulas mengenai calon-calon sesuai memimpin kontinjen negara ke temasya itu tahun depan.
Beliau yang pernah menjadi ketua kontinjen bagi edisi 1999 di Brunei menjelaskan individu yang diberi tanggungjawab berkenaan mempunyai peranan penting sebagai perantara membabitkan MOM dan persatuan-persatuan sukan.
Dengan itu, pemimpin persatuan sukan adalah antara pilihan terbaik walaupun terdapat beberapa bekas atlet kebangsaan juga dilihat mampu melaksanakan tugas berkenaan.
"Ketua kontinjen perlu menjadi perantara di antara MOM dan persatuan-persatuan sukan.
"Ia penting bagi memastikan mereka mempunyai pengalaman dalam mengenal pasti keperluan atlet untuk dipenuhi," katanya.
Edisi 2017 di Kuala Lumpur menyaksikan Datuk Marina Chin Abdullah dilantik sebagai ketua kontinjen sambil dibantu oleh bekas pelumba basikal negara, M. Kumaresan dan Pengarah Bahagian Persediaan Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin.
Tambah Kok Chi, pemilihan ketua kontinjen sepatutnya bukan tugas sukar buat MOM kerana mereka mempunyai pelbagai individu yang mampu melaksanakan tanggungjawab berkenaan.
"Sebelum ini, pernah ada individu yang dilantik menjadi ketua kontinjen sebanyak dua kali, namun kini tidak lagi kerana kami mempunyai ramai individu yang berkebolehan," katanya lagi.
;