Kelayakan Euro 2024: Zaniolo, Tonali tinggalkan kem Itali berikutan siasatan
Muzaffar Musa
Oktober 13, 2023 10:25 MYT
Oktober 13, 2023 10:25 MYT
Pemain tengah Newcastle United, Sandro Tonali, dan penyerang pinjaman Aston Villa, Nicolo Zaniolo, kedua-duanya telah meninggalkan kem latihan Itali untuk pulang ke pangkuan kelab masing-masing berikutan siasatan yang sedang dijalankan Pejabat Pendakwa Raya Turin.
Persatuan Bolasepak Itali (FIGC) berkata keputusan itu dibuat kerana kedua-dua pemain berkenaan "bukan dalam keadaan yang bersesuaian" untuk terlibat dengan dua perlawanan pusingan kelayakan Euro 2024 menentang Malta dan England selain ia demi "melindungi mereka".
Kenyataan yang dikeluarkan FIGC itu tidak mendedahkan butiran mengenai siasatan melibatkan Tonali dan Zaniolo, yang sedang dipinjam Villa daripada Galatasaray.
Laporan-laporan di Itali mendakwa siasatan berkenaan adalah berkaitan dengan pertaruhan haram, di mana pada Rabu lalu, pertahanan Juventus, Nicolo Fagioli, turut didakwa atas tuduhan pelanggaran undang-undang pertaruhan.
Itali, yang merupakan juara bertahan Eropah, akan melayani kunjungan Malta di Bari hujung minggu ini sebelum bertandang ke Wembley untuk menghadapi England awal pagi Rabu depan.
England kini mendahului carta Kumpulan C dengan 13 mata, enam mata di atas pasukan di tangga kedua, Itali, yang berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.
Tonali and Zaniolo have left the Coverciano training camp. #Azzurri #VivoAzzurro https://t.co/4yBNtT1wuW
— Italy ⭐️⭐️⭐️⭐️ (@Azzurri_En) October 12, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.