ENGLAND 3 ITALI 1
Gareth Southgate berkata England sudah bersedia untuk mencabar Kejohanan Eropah selepas melayakkan diri ke Euro 2024 daripada kumpulan paling sukar dalam pusingan kelayakan dan masih berbaki dua perlawanan.
Selepas bangkit daripada kekecewaan tewas di tangan Perancis dalam suku akhir Piala Dunia pada Disember lalu, England bangkit menewaskan Itali di Naples pada Mac lalu dan mereka kemudian mendaftarkan tiga lagi kemenangan dan satu keputusan seri dengan Ukraine untuk memastikan naib juara Euro 2020 itu layak secara automatik ke kejohanan utama di Jerman tahun depan.
Pasukan dengan rekod tanpa kalah itu hanya memerlukan satu mata dalam perlawanan menentang Itali di Stadium Wembley awal pagi tadi tetapi mereka mempamerkan aksi luar biasa di depan ribuan penyokong sendiri untuk bangkit daripada ketinggalan sebelum mencatatkan kemenangan 3-1.
"Saya amat gembira untuk memenangi perlawanan malam ini," kata pengurus England, Southgate, selepas pasuknnya sah layak ke Euro 2024.
"Itulah yang lebih utama. Kami tahu perlawanan berdepan negara terbaik seperti ini merupakan perlawanan yang kami mahu menangi.
"Kami masih mahu memenangi perlawanan bulan depan kerana ia boleh mempengaruhi kedudukan kami.
"Amat bagus dapat layak lebih awal. Saya fikir ini adalah pasukan kelayakan paling sukar dengan Ukraine, Itali dan dengan keputusan yang diperoleh Macedonia Utara," katanya.
England seterusnya akan berdepan Malta di laman sendiri sebelum melengkapkan kempen kelayakan itu dengan kunjungan ke laman Macedonia Utara bulan depan.
Di tanya mengenai kedudukan England sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai Euro 2024, Southgate menambah: "Saya fikir kami perlu menerimanya.
"Saya fikir tekanan datang apabila jangkaan berbeza dengan realiti dan realitinya, kami akan menjadi salah satu pasukan yang mampu menang.
“Ada pasukan lain. Anda tahu, ia (pasukan yang) sangat kuat. Anda hanya perlu melihat 10 negara Eropah teratas dan pada mana-mana hari tertentu, satu pasukan boleh mengalahkan mana-mana pasukan."
Muzaffar Musa
Wed Oct 18 2023