Kem silat negara berpeluang cerah untuk mencapai sasaran tujuh pingat emas dalam Kejohanan Silat Dunia 2022 apabila pesilat negara daripada kategori seni memenangi tiga pingat emas di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh malam tadi.
Malaysia mempunyai enam wakil di pentas akhir dan tiga daripadanya berhasil menyumbangkan emas manakala tiga lagi memberikan kilauan perak.
Pingat emas pertama disumbangkan oleh gandingan juara dunia 2018, Mohd Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga, yang mempertahankan kejuaraan mereka dengan menewaskan pesilat Filipina, Almohaidid E. Abad dan Alfau Jan E. Abad, dalam acara ganda putera.
Trio negara yang dibarisi Muhammad Syafiq Ibrahim, Nashrul Edam Mohd Asri dan Luqman Laji, kemudian membutirkan pingat emas kedua dalam acara regu putera dengan menewaskan barisan pesilat Indonesia, Anggi Faisal Mubarok, Asep Yuldan Sani dan Rano Slamet Nugraha.
Malam gemilang Malaysia dilengkapkan dengan kejutan daripada pesilat berusia 21 tahun, Merrywati Manuil, yang menewaskan Puspa Arumsari dari Indonesia dalam acara solo kreatif puteri.
Muzaffar Musa
Sat Jul 30 2022