Pasukan karate Labuan muncul naib juara keseluruhan Kejohanan Karate Antarabangsa Legenda Ke-6 2019 di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor, semalam.

Mereka menggondol enam pingat emas, dua perak dan tiga gangsa.

Emas diperoleh menerusi Muhammad Aiqal Asmadie dalam dua kategori, iaitu kata perseorangan kadet lelaki dan kumite kadet lelaki - 63kg; Muhamad Azib Aiman Muhamad Affendi (kata perseorangan lelaki junior dan kumite perseorangan lelaki junior 55kg) dan Sam Hiang Fong (kata perseorangan wanita senior dan kumite wanita senior 61kg).

Perak disumbangkan Zacchaeus Dunang Jerangku dalam dua kategori, iaitu kata perseorangan kadet lelaki dan kumite kadet berpasukan; Erness Eldo Bius Janggul (kumite kadet lelaki 70kg dan kumite kadet berpasukan); Adib Abdullah (kategori kata bawah 12-13 tahun) manakala Muhamad Aiqal Asmadee dalam acara kumite kadet berpasukan.

Zacchaeus, Erness, Adib dan Aiqal pula menyumbangkan gangsa dalam kategori-kategori kata, kumite dan kumite berpasukan.

Presiden Persatuan Karate Labuan, Mohd Ismifarizal Mohamed Ishak, yang sebelum ini menggesa barisan atlet supaya mengambil peluang dalam kejohanan itu untuk dijadikan sebagai batu loncatan untuk mewakili Labuan, turut hadir untuk memberikan sokongan.

“Satu pertandingan yang sangat sengit buat atlet-alet kami bersaing dengan atlet-atlet karate terbaik dari seluruh negara dan saya sangat gembira dengan keputusan akhirnya.

“Kesemua mereka telah memberikan yang terbaik dan sekiranya terus bekerja kuat, saya yakin mereka akan mencapai kejayaan yang lebih tinggi,” katanya.

-- BERNAMA