Jet ski: Peralatan sewa tidak lemahkan skuad negara

Penulis Jemputan
Ogos 19, 2018 16:13 MYT
Jurulatih jet ski negara, Mohamad Azli Abdullah, melupakan kerja hakiki sebagai ahli perniagaan untuk memberi tumpuan persiapan pasukan Malaysia dalam saingan Sukan Asia 2018.
Azli menganggap ini adalah masa yang terbaik untuk mencurahkan bakti kepada negara selepas muncul selaku pemandu jet ski terbaik sekitar 90-an.
Beliau, yang pernah memegang gelaran dunia dalam Piala Raja Thai tiga tahun berturut-turut dari 1995 sehingga 1997, yakin anak buahnya, Saifullah Nazar, mampu mengisi slot podium bagi acara stok 1100 dan terbuka endurance di Pantai Ancol, Jakarta, nanti.
"Jika kami dapat membawa peralatan dari Malaysia pasti lebih mudah.
"Tetapi, situasi menyewa jet ski ini tidak akan melunturkan semangat kami untuk membawa pulang pingat ke tanah air," katanya.
Skuad Malaysia tiba di Jakarta dua hari lalu dan sedang membuat persediaan menyiapkan jentera yang akan digunakan.
Malaysia mengeluarkan bajet sebanyak RM40,000 untuk menyewa jet ski, namun enjinnya dibawa khas dari Malaysia.
"40 peratus acara ini bergantung kepada kemahiran dan selebihnya adalah kekuatan mental.
"Sekiranya enjin tidak diselenggara dengan betul, ia boleh menjadi penyebab kepada kekalahan kami," tambahnya.
Ketika ini, mereka masih dalam fasa menyiapkan jentera sebelum dibenar melakukan ujian laluan esok.
;