Hidilyn Diaz kini terkandas di Melaka
Muzaffar Musa
Oktober 25, 2020 22:34 MYT
Oktober 25, 2020 22:34 MYT
Atlet angkat berat Filipina, Hidilyn Diaz, yang kisahnya terkandas di Malaysia berikutan pandemik COVID-19 pernah dilaporkan Nadi Arena beberapa bulan lalu, kini difahamkan terkandas di Melaka.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu melawat Melaka bersama barisan atlet Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan susulan kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Diaz tidak dapat kembali ke tempat tinggalnya di ibu negara.
Bagaimanapun, dia bernasib baik apabila terdapat warga Melaka yang sanggup menawarkannya tempat tinggal dan latihan di negeri itu.
"Saya kini berada di Melaka. Kami bercuti di Melaka tetapi secara tiba-tiba terdapat maklumat tentang perintah berkurung di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Kami mencari penyelesaian segera dan dapat menjalani latihan di Melaka.
"Sesi latihan kami amat baik di Kompleks Sukan Jasin," katanya.