Atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail, tidak berkecil hati apabila Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengetepikan namanya daripada Kejohanan Dalam Dewan Asia
di Tehran, Iran, bulan depan yang mampu merentap peluangnya mencabar dalam Kejohanan Dalam Dewan Dunia.
Tiket 'wildcard' Hakimi ke Birmingham akan terhapus secara automatik jika ada atlet melepasi had kelayakan secara merit.
KOM menyenaraikan pelari 110m berpagar, Rayzamshah Wan Sofian dan gandingan pecut, Zaidatul Husniah Zulkifli serta Nixson Kennedy ke Tehran.
Ketiga-tiga mereka memiliki peluang baik melepasi had kelayakan, terutama Rayzamshah yang masih segar dengan kejayaan meraih pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lalu.
"Sekarang ini beberapa atlet mampu meraih tiket 'wild card' untuk beraksi di Tehran. Saya akan menunggu hingga Februari dan jika terpilih, saya akan berbincang semula dengan jurulatih," kata Hakimi.
Keutamaan Hakimi ialah meraih pingat Sukan Komanwel dan Sukan Asia.
Berdasarkan jarak 16.77 meter catatannya dalam Sukan SEA, ia hanya melayakkan atlet kelahiran Perak ini meraih gangsa Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia.
Penulis Jemputan
Mon Jan 01 2018